31 May, 2009

Semuanya serba tak kena

Alkisah semalam, seorang anak patutnya menghadiri konsert anjuran sekolahnya. Si bapa walaupun sudah sedia maklum, masih perlu bekerja juga di hari tersebut. Si ibu pula perlu menyelesaikan urusan yang tertangguh. Si ibu hanya selesai berurusan 1 jam sebelum anak dikehendaki tiba di lokasi konsert. Si bapa pula hanya tiba di rumah setengah jam kemudian.

Dalam keadaan tergopoh-gapah, kasut si anak tertinggal pula. Si bapa nekad meneruskan perjalanan. Mereka sepatutnya boleh tiba ke lokasi konsert 15 minit lewat. Tapi, oleh kerana kasut si anak tertinggal, terpaksa pula mencari kedai kasut di kawasan berhampiran. 15 minit terbuang begitu sahaja, sebuah kedai kasut pun mereka tak jumpa.

Kawasan pencarian kedai kasut diperluaskan. Dalam perjalanan, enjin kereta pula mengalami masalah. Mati tiba-tiba. Entah apa masalahnya, berkali-kali dicuba baru enjin boleh dihidupkan semula. Dalam pada si bapa membelek kereta, si ibu sempat membelikan kasut buat anaknya.

Enjin kereta mati lagi sebanyak 2 kali sebelum mereka akhirnya sampai ke lokasi konsert 1 jam setengah dari masa sepatutnya mereka tiba.

Hancur hati si ibu bila melihatkan rakan-rakan anaknya sudah selesai menyanyi di atas pentas. Nasib masih menyebelahi... rupanya masih ada satu lagi lagu yang perlu dinyanyikan. Berpeluanglah si anak naik ke atas pentas.

Ketika pertunjukkan fesyen oleh rakan-rakan dari sekolah lain, si anak meraung-raung nak beraksi semula. Rupanya si anak masih nak menyanyi di atas pentas. Hibanya si ibu melihatkan si anak sebegitu.

Si anak sepatutnya berpeluang menyanyikan 4 lagu tapi, rezekinya cuma sebuah lagu sahaja. Mujur ada sesi pemberian hadiah di atas pentas. Dapatlah mengubat kesedihan buat si anak.

Perjalanan balik lebih hebat dugaannya. Entah berapa kali enjin mengalami masalah serupa sebelum selamat tiba ke rumah kembali. Pendek kata, semuanya serba tak kena hari tu. Tapi, beberapa pengajaran yang diperolehi pastinya akan diingati selalu supaya tidak berlaku lagi perkara serupa di kemudian hari.

No comments:

Related Posts with Thumbnails